SALAM PERPISAHAN PRESIDEN KGPA KE-4 DAN SELAMAT DATANG PRESIDEN KGPA KE-5
Sempena Majlis Perpisahan Presidan KGPA ke-4 itu, satu pertandingan golf jemputan telah diadakan. Pertandingan Golf Perpisahan itu telah menggantikan Pertandingan Golf Piala Presiden. Ini memandangkan pada 3 September 2006 , Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman mulai bersara daripada jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN), maka dengan itu tidak lagi menyandang jawatan Presiden KGPA - oleh kerana KSN adalah ex-officio Presiden KGPA mengikut Fasal 23 (a) (i) Perlembagaan KGPA. Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman tidak dapat bersama bermain golf pada hari itu disebabkan kesihatannya tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun, beliau hadir pada Majlis Makan Tengahari dan Penyampaian Hadiah. Aturcara khas pada Majlis Makan Tengahari itu dikendalikan secara berkesan oleh Kapten Kelab, Tn. Hj. Abdul Razak Idris yang mempersembahkan "PowerPoint Presentation" bertajuk Jasamu Dikenang mengenai aspek-aspek pembangunan KGPA dalam era pimpinan Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman (Jan 2001-Sept 2006). Dalam ucapan perpisahannya, Y.Bhg. Tan Sri Samsudin secara bersahaja serta dengan rasa rendah diri menyatakan tanpa beliau pun KGPA pasti membangun sebagaimana yang kita semua saksikan sekarang ini. Ini menunjukkan betapa Tan Sri begitu yakin dengan kemampuan Jawatankuasa Am bersama pihak pengurusan KGPA melaksanakan segala projek pembangunan KGPA secara berkesan. Tetapi suatu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah Tan Sri telah berjaya memberikan KGPA kepimpinan yang kondusif demi merangsang kemajuan KGPA secara keseluruhannya. Selain ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Am dan pengurusan KGPA di semua peringkat, saya tertarik dengan dua perkara yang Tan Sri bangkitkan. Pertama, tentang kedudukan lokasi KGPA yang begitu strategik sehinggakan terdapat pihak tertentu yang sangat berminat memperolehi hartanah KGPA. Beliau menyeru supaya ahli-ahli KGPA mempertahankan haknya supaya KGPA kekal menjadi pusat aktiviti-aktiviti riadah bagi anggota kerajaan dan mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan Kerajaan. Semua ahli KGPA harus menyedari kemungkinan berlakunya perkara ini di masa depan dan bersatu padu untuk memastikan KGPA kekal di lokasi sekarang. Untuk ini, KGPA amat bergantung kepada kepimpinan Presiden kita yang baru. Maka atas dasar inilah di antara aspek yang ditekankan dalam Perlembaggaan KGPA yang dikaji semula dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 31 Mac 2004 adalah memperkasakan institusi KSN selaku Presiden KGPA atas jawatan, melalui Fasal 35 Perlembagaan KGPA, yang mengecualikan kuasa Presiden daripada dipinda oleh Mesyuarat Agung KGPA. Di sinilah terletaknya harapan ahli-ahli KGPA kepada Presiden baru kita, Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hj Hassan. Presiden kita sekarang adalah seorang golfer yang berpengalaman dengan handikep 18 dan telah menjadi ahli KGPA sejak 1992 lagi. Keduanya, Y.Bhg Tan Sri Samsudin telah menyentuh tentang perkenan SPB Yang di Pertuan Agong menjemput pasukan Presiden KGPA ke Perlis untuk perlawanan "sudden death", oleh kerana selepas 4 Pertandingan Golf Persahabatan antara Pasukan SPB lwn Pasukan Presiden KGPA keputusannya berakhir 2 sama. Buat pertama kalinya SPB Yang di Pertuan Agong bertitah semasa acara pertandingan golf satu sejarah kepada KGPA. SPB mengucapkan terima kasih kepada pihak KGPA atas layanan yang telah diberikan sejak Tuanku menjadi Yang di Pertuan Agong Malaysia ke-12. Aturcara pada 3 September 2006 diakhiri dengan upacara serah tugas di antara bekas Presiden KGPA kepada Presiden KGPA yang ke-5, disaksikan oleh Naib Presiden, Setiausaha Kehormat, Kapten Kelab KGPA ke-3, AJK yang hadir serta pemain golf jemputan yang lain. Sebelum ini upacara serah tugas jawatan KSN di antara kedua-dua tokoh ini telah diadakan di Putrajaya pada 1 September 2006 disaksikan oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Seperti kita semua saksikan tiada Kelab Golf lain di Malaysia yang mampu menjadi hos pertandingan golf kepada Ketua Negara serta Ketua Kerajaan Malaysia setiap tahun selain KGPA. Ini semua disebabkan ketokohan Presiden kita, sudah pasti! |



Tanggal 3 September 2006 , hari Ahad adalah suatu hari yang amat bersejarah bagi KGPA. Pada hari itulah sebilangan ahli-ahli KGPA menyaksikan peristiwa mengucapkan selamat berpisah kepada Presiden KGPA ke-4, Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman dan sekaligus mengucapkan selamat datang kepada Presiden KGPA ke-5, Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hj Hassan.